KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter dan tidak merancang sebarang perubahan drastik terhadap dasar atau harga semasa.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir, berkata konflik yang sedang berlaku di Asia Barat ketika ini tidak menunjukkan petunjuk kukuh untuk kerajaan membuat pelarasan besar terhadap polisi sedia ada atau harga bahan api domestik.
“Kementerian memantau rapat perkembangan di Asia Barat, namun setakat ini tiada petunjuk untuk kerajaan membuat perubahan dasar secara drastik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Ketua Pegawai Eksekutif OGSE100 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan subsidi bersasar masih diteruskan dan kerajaan komited memastikan harga RON95 kekal pada paras munasabah untuk rakyat.
Pada 1 Mac lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan berusaha mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global susulan perkembangan terbaharu di Asia Barat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan peningkatan harga minyak dunia akibat gangguan di Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara, namun kerajaan tetap bertekad mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah program Budi95.
Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2026 pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus walaupun konflik berterusan di Asia Barat.
“Sekiranya perlu pelarasan, ia akan dilakukan oleh Bank Negara Malaysia. Namun setakat ini, kita masih meneruskan sasaran pertumbuhan bagi 2026 seperti yang dirancang,” katanya.
Langkah itu dilihat sebagai usaha mengekalkan kestabilan harga domestik serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat. – MYBERITA

