MERU – Tindakan biadab lima lelaki yang bukan sahaja tidak menghormati anggota polis, malah berani bertumbuk di dalam balai membawa padah apabila mereka diberkas, Isnin lalu.
Kejadian berlaku di Balai Polis Meru kira-kira jam 9.40 malam dan mencetuskan kekecohan sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda milik balai.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao, mengesahkan insiden berkenaan membabitkan sekumpulan lelaki tempatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila tiga lelaki hadir ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba mereka didatangi lima lelaki lain sebelum berlaku perbalahan antara kedua-dua pihak.
“Salah seorang daripada kumpulan lima lelaki itu kemudian bertindak memukul pengadu menggunakan sebatang besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kekecohan tersebut turut menyebabkan sebuah televisyen milik balai rosak sebelum semua suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.
Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.
“Insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua belah pihak.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148, 427 dan 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 5 Mac bagi tujuan siasatan lanjut.
“Polis memandang serius kejadian ini kerana ia membabitkan gangguan ketenteraman di balai polis.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara atau balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis kini sedang giat mengesan beberapa lagi individu yang telah dikenal pasti bagi membantu siasatan. – MYBERITA

