KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming berkongsi pandangan mengenai nilai sebenar di sebalik setiap resipi masakan yang dikongsikan pencipta kandungan di media sosial.
Menurutnya, sesuatu resipi tidak seharusnya dinilai berdasarkan tahap kesempurnaan semata-mata, sebaliknya usaha untuk mencuba serta momen kebersamaan yang tercipta di rumah jauh lebih bermakna.
“Satu bahan masak yang korang tak akan boleh beli walaupun ada duit sebanyak mana sekalipun. Bahan keempat itu sebenarnya adalah usaha kita semua untuk mencuba,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.
Beliau menjelaskan, video masakan yang dihasilkan bukan bertujuan memenuhi standard profesional atau industri restoran, sebaliknya disediakan untuk memudahkan orang ramai mencipta kenangan bersama insan tersayang.
“Video masak ini bukan standard profesional, bukan untuk dijual di restoran dan bukan juga untuk mereka yang ada akses kepada bahan atau peralatan industri.
“Ia dibuat supaya korang boleh cipta momen di rumah. Ada yang masak dengan anak-anak sebelum mereka membesar, ada yang guna peluang ini untuk berkumpul dengan keluarga kerana bukan selalu dapat bersama,” ujarnya.
Tambahnya, kekurangan bahan, ilmu mahupun kelengkapan bukan alasan untuk tidak mencuba.
“Ada yang tak cukup bahan, ada yang tak cukup ilmu, ada yang tak cukup kelengkapan, tak apa. Kita buat dengan apa yang ada. Yang penting, kita mula mencuba.
“Kalau masakan gagal pun tak apa. Sekurang-kurangnya kita cuba. Kalau kita letakkan mindset memasak mesti sempurna, susah untuk tarik anak muda masuk ke dapur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya melihat kehidupan daripada sudut yang lebih luas dan memahami realiti berbeza yang dihadapi setiap individu.
“Daripada proses ini, ada yang belajar berdikari, belajar buat silap dan belajar berinovasi. Dalam hidup, jangan tengok dunia kita sahaja.
“Bila kita faham situasi orang lain, empati akan wujud. Mungkin video masak satu minit ini tak mampu selesaikan masalah dunia, tetapi sekurang-kurangnya ia mampu menyatukan kita,” katanya.
Kenyataan tersebut hadir susulan kecaman seorang netizen terhadap video masakan Cottage Pie yang dikongsikan personaliti media sosial, Che Sayang yang didakwa tidak kemas serta tidak menyediakan resipi tepat. -MYBERITA

