KUALA LUMPUR – Seorang peniaga gerai minuman meluahkan rasa kecewa selepas menerima kecaman daripada segelintir netizen susulan harga jualan jus tembikai pekat campur satu tin laici yang ditetapkan pada RM8 sebungkus.
Menerusi satu hantaran di media sosial, lelaki itu mengakui komen negatif yang diterimanya sedikit sebanyak memberi kesan emosi dan membuatkan dirinya berasa penat.
“Tak tahu nak kata apa dah. Penat kadang-kadang,” tulisnya ringkas.
Menurutnya, harga tersebut mengambil kira kos bahan mentah termasuk buah tembikai segar, laici dalam tin serta kos operasi harian seperti sewaan tapak dan utiliti.
Bagaimanapun, hantaran itu turut dihujani pelbagai reaksi daripada orang ramai yang tampil mempertahankannya. Rata-rata berpendapat harga RM8 adalah munasabah memandangkan harga barangan mentah yang semakin meningkat ketika ini.
Ada juga pengguna media sosial yang menyifatkan peniaga kecil sering menjadi sasaran kritikan walaupun margin keuntungan mereka tidaklah sebesar mana.
Perkongsian itu sekali lagi membuka perbincangan mengenai kos sara hidup serta cabaran yang dihadapi peniaga kecil dalam memastikan harga kekal berpatutan tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan. – MYBERITA

