KUALA LUMPUR – Tujuh pelajar dari Selangor yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi, susulan konflik di Asia Barat dilaporkan selamat dan kini telah dipindahkan ke Jordan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kesemua pelajar yang menuntut di Jordan itu berada di Arab Saudi untuk menunaikan ibadah umrah dan sepatutnya pulang pada 28 Februari lalu.
Menurut beliau, wakil kerajaan negeri segera menghubungi pegawai Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Hijaz Ramli, untuk mendapatkan bantuan. “Semua pelajar ditempatkan di pejabat konsulat selama satu malam sebelum dipindahkan ke hotel berdekatan sementara menunggu proses penghantaran pulang ke Jordan,” jelas beliau.
Kesemua pelajar bergerak pulang melalui jalan darat menggunakan bas pada 10.30 pagi 3 Mac waktu Jeddah bersamaan 3.30 petang waktu Malaysia, dengan perjalanan dijangka mengambil masa 24 jam.
“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan konflik bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak Selangor di rantau berkenaan sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Amirudin turut memaklumkan terdapat 12 lagi pelajar Malaysia di Jordan yang mengalami situasi sama. – MYBERITA

