KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang juga suami kepada pelakon Miera Liyana merayu kepada Mahkamah Sesyen supaya jumlah jaminan terhadapnya dikurangkan berhubung pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad lima tahun lalu.
Peguamnya, S. Shatidaran berkata anak guamnya, Rosland Othman, telah diisytiharkan muflis pada tahun 2023 selain menghidap beberapa penyakit termasuk kencing manis, glaukoma dan masalah saraf.
Menurutnya, keadaan kesihatan tertuduh serta tanggungan keluarga yang besar menjadi faktor utama permohonan untuk mengurangkan jumlah jaminan.
“Dengan keadaan kesihatan serta tanggungan keluarga yang besar, saya memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan anak guam diikat jamin pada jumlah yang lebih rendah dan munasabah,” katanya ketika prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pertuduhan dikemukakan di bawah perenggan 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama subseksyen 367(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda maksimum RM3 juta.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Hashley Tajudin memaklumkan pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan tersebut termasuk dalam kategori tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.
Usahawan berusia 53 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Rosland yang ketika itu merupakan pengarah Sarawak Consolidated Industries Berhad didakwa menyebabkan pernyataan palsu dimasukkan dalam dokumen Interim Financial Report on Consolidated Results for the Quarter Ended 30 September 2021.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Bursa Malaysia yang terletak di Exchange Square, Bukit Kewangan, Kuala Lumpur pada 30 September 2021. – MYBERITA

