PULAU PINANG – Sebuah tanah perkuburan Islam di Pulau Pinang dilaporkan dipenuhi sekumpulan peminta sedekah yang ‘berpiknik’ di laluan masuk kawasan tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan waris yang ingin menziarahi kubur keluarga.
Perkara itu tular menerusi satu video yang dikongsikan pengguna media sosial dikenali sebagai Miaaashahiid, memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga asing duduk di pintu masuk tanah perkuburan berkenaan.
Berdasarkan rakaman tersebut, kumpulan terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak itu dilihat membentangkan kain atau tikar seolah-olah sedang berkelah sambil menunggu sumbangan daripada orang ramai.
Malah, terdapat juga dalam kalangan mereka yang menegur pengunjung dengan ucapan “Selamat Hari Raya” bagi meraih simpati untuk mendapatkan wang sedekah.
Menurut perkongsian tersebut, situasi berkenaan dikatakan sering berlaku terutama pada pagi Hari Raya Aidilfitri apabila ramai umat Islam hadir untuk menziarahi pusara ahli keluarga.
Tindakan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa kurang senang, selain menasihatkan orang ramai agar tidak menghulurkan wang kepada peminta sedekah terbabit.
Seorang pengguna menyatakan bahawa pemberian sedekah secara tidak terkawal boleh menggalakkan aktiviti tersebut berterusan, manakala seorang lagi menyifatkan keadaan itu seolah-olah menjadikan kawasan perkuburan sebagai tempat riadah.
Selain itu, ada juga yang meluahkan kebimbangan terhadap kebersihan kawasan kubur apabila didakwa terdapat sampah seperti bungkusan makanan dan sampul duit raya yang ditinggalkan berhampiran pusara.
Orang ramai berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselesaan pengunjung serta menjaga kesucian kawasan tanah perkuburan tersebut. – MYBERITA

