KOTA KINABALU – Seorang pakar psikiatri forensik memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa hasil autopsi psikologi mendapati kematian Zara Qairina Mahathir paling konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri.
Dr. Chua Sze Hung, 43, berkata, dapatan tersebut dibuat selepas mendapati si mati mempunyai lebih banyak faktor risiko berbanding faktor perlindungan ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, ketidakseimbangan itu meningkatkan kerentanan terhadap tindakan mengakhiri nyawa sendiri selain wujud gabungan faktor predisposisi dan pencetus yang membawa kepada insiden berkenaan.
“Ketika insiden berlaku, si mati menunjukkan dominasi faktor risiko berbanding faktor perlindungan.
“Gabungan masalah sedia ada dan peristiwa semasa dipercayai menjadi pencetus kepada tindakan terakhirnya, yang berkemungkinan dilakukan untuk menamatkan penderitaan dalam keadaan tekanan emosi yang amat berat serta pertimbangan yang terganggu.
“Sehubungan itu, autopsi psikologi merumuskan bahawa cara kematian paling konsisten adalah bunuh diri,” katanya ketika membacakan keterangan saksi di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Dalam prosiding sama, beliau menjelaskan tindakan tersebut tidak menunjukkan perancangan terperinci, sebaliknya berlaku dalam keadaan tekanan akut dan keupayaan mengawal diri yang semakin lemah.
Sementara itu, inkues turut melibatkan beberapa pasukan peguam yang mewakili ahli keluarga dan individu berkaitan, selain dikendalikan oleh pasukan pendakwaan negeri Sabah.
Zara Qairina, 13, sebelum ini ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolahnya pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini. –MYBERITA

