KUALA LUMPUR – Tindakan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil yang bermurah hati menghulurkan duit raya kepada lima remaja lelaki mencuri perhatian ramai di media sosial.
Menerusi satu perkongsian tular di media sosial, Pak Nil dilihat terserempak dengan kumpulan remaja berkenaan ketika berada di sebuah kedai gajet sebelum meminta mereka beratur.
“Masih bulan Syawal kan,” katanya di ruangan kapsyen.
Beliau kemudian mengeluarkan wang tunai dan memberikan RM50 kepada setiap seorang remaja tersebut sebagai tanda hadiah duit raya.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya memuji sifat pemurah beliau dan mendoakan agar rezekinya terus diluaskan.
“Semoga murah rezeki Pak Nil,” kata seorang pengguna.
“Pak Nil selalu sangat kongsi rezeki, sebab itu rezeki beliau pun mengalir tak henti. Sangat mengagumi beliau, semoga suatu hari nanti saya juga dapat berkongsi rezeki seperti ini, terutama untuk keluarga. Kalau keluarga minta apa-apa, kalau boleh semua nak dibelanja,” kata seorang lagi pengguna.
Rata-rata pengguna turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu contoh nilai murni yang wajar dicontohi masyarakat. –MYBERITA
View on Threads

