Rabu, 15 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
SemasaSuami tampil buat laporan polis isu isteri mengandung di tuduh mencuri

Suami tampil buat laporan polis isu isteri mengandung di tuduh mencuri

KUALA LUMPUR – Detik membeli-belah yang sepatutnya menjadi pengalaman menyenangkan bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang wanita sarat hamil apabila dia didakwa dituduh mencuri oleh pekerja sebuah pusat beli-belah terkenal tanpa sebarang bukti kukuh.

Insiden berkenaan menjadi tular di media sosial selepas suaminya berkongsi pengalaman yang didakwa dialami isterinya menerusi akaun Threads miliknya.

Menurut lelaki yang menggunakan nama pengguna @fareezshah10, beliau mengambil keputusan untuk membuat laporan polis bagi mempertahankan maruah isterinya serta memastikan perkara itu disiasat mengikut saluran yang betul.

“Alhamdulillah, hari ini saya dah ambil langkah pertama. Apa yang berlaku pada isteri saya bukan perkara kecil untuk saya tutup mata. Maruah seorang wanita yang sedang sarat mengandung dipijak dengan satu tuduhan yang langsung tiada bukti.

“Saya percaya pada proses. Saya percaya pada keadilan. Dan saya juga percaya setiap tindakan ada akibatnya. Ini baru permulaan. Insya-Allah, masih ada lagi langkah-langkah yang akan menyusul,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan sokongan, doa dan nasihat selepas isu berkenaan mendapat perhatian meluas di media sosial.

“Hanya Allah SWT yang mampu membalas segala kebaikan anda semua. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang memberi sokongan, kata-kata semangat, doa, nasihat dan membantu menaikkan isu ini supaya mendapat perhatian,” katanya.

Beliau turut berharap insiden seumpama itu tidak akan berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap individu lain.

“Saya tak minta sesiapa membenci atau menghukum sesiapa. Saya cuma berharap perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi kepada mana-mana ibu mengandung, keluarga atau orang lain pada masa akan datang,” ujarnya.

Terdahulu MYBERITA melaporkan, wanita terbabit didakwa berdepan detik memalukan apabila dituduh mencuri oleh pekerja sebuah pusat beli-belah tanpa bukti yang jelas.

Lebih mengejutkan, wanita itu turut mendakwa diminta menunjukkan buku rekod kehamilan atau buku pink bagi membuktikan dirinya benar-benar hamil kerana pekerja berkenaan dikatakan tidak mempercayai keadaan kandungannya.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pusat beli-belah atau pengurusan premis berhubung dakwaan yang tular itu, manakala siasatan lanjut dijangka dijalankan susulan laporan polis yang dibuat.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-