KUALA LUMPUR – Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain Gulf Air (GP Bahrain) di Malaysia dijangka menjadi pemacu baharu ekonomi negara apabila berpotensi menjana aktiviti ekonomi melebihi RM1 bilion menerusi lonjakan perbelanjaan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Profesor Emeritus Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Dr Barjoyai Bardai, berkata limpahan ekonomi daripada acara berprestij dunia itu bakal dirasai pelbagai sektor termasuk pelancongan, penerbangan, hospitaliti, makanan dan minuman (F&B) serta peruncitan.
“Setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengunjung akan menjana manfaat ekonomi yang lebih luas melalui peningkatan pendapatan, pekerjaan dan peluang perniagaan.
“Perlumbaan ini juga akan melonjakkan kebolehlihatan global terhadap Malaysia melalui liputan media antarabangsa yang meluas di samping menyediakan peluang untuk Malaysia menyerlahkan infrastruktur, kesambungan dan persekitaran perniagaan negara kepada bakal pelabur,” katanya.
Menurut beliau, acara itu dijangka meningkatkan kadar penghunian hotel, permintaan terhadap perkhidmatan pelancongan serta aktiviti F&B, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada pemain industri tempatan.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata impak terbesar acara tersebut datang melalui peningkatan eksport pelancongan apabila perbelanjaan pelawat asing direkodkan sebagai eksport perkhidmatan negara.
Katanya, kemasukan permintaan baharu daripada pelancong antarabangsa memberi kesan pengganda ekonomi yang lebih kukuh berbanding perbelanjaan domestik.
“Saluran kedua ialah penggunaan swasta, yang menyumbang lebih separuh kepada KDNK Malaysia. Pengunjung Formula 1 biasanya mempunyai perbelanjaan per kapita yang lebih tinggi daripada purata pelancong riadah, dengan perbelanjaan tertumpu kepada penginapan, penerbangan, makanan dan minuman, peruncitan, hiburan dan perkhidmatan mobiliti.
“Ini mewujudkan dorongan penggunaan meluas yang melimpah melalui rantaian bekalan, menyokong pekerjaan dan pendapatan perniagaan, terutama dalam ekosistem pelancongan,” katanya.
Mengulas kesan terhadap pertumbuhan ekonomi, Barjoyai berkata sumbangan langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan dijangka sederhana, namun pertumbuhan sektor perkhidmatan berpotensi meningkat khususnya pada suku keempat tahun ini.
Beliau berkata, F1 bukan sahaja mampu merangsang aktiviti ekonomi jangka pendek, malah membantu mempelbagaikan sumber pertumbuhan negara dengan memperkukuh sektor pelancongan dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Dalam masa sama, acara itu dijangka memberi manfaat besar kepada industri penerbangan apabila dianggarkan mampu menarik kira-kira 50,000 pelancong antarabangsa ke Malaysia.
Barjoyai berkata, berdasarkan anggaran 90 peratus pelawat tiba melalui laluan udara, GP Bahrain berpotensi menyumbang sekitar 90,000 pergerakan penumpang tambahan, melibatkan penerbangan domestik dan antarabangsa.
“Peningkatan ketibaan antarabangsa boleh membantu meningkatkan faktor muatan syarikat penerbangan, terutama di laluan serantau dari Singapura, Thailand, Indonesia, China, Jepun, Australia dan Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata, pertambahan trafik penumpang itu turut memberi kesan limpahan kepada sektor peruncitan dan perkhidmatan di lapangan terbang.
Secara keseluruhannya, GP Bahrain dijangka memberi manfaat besar kepada sektor pelancongan, penerbangan, hotel dan peruncitan, selain mengangkat Malaysia sebagai destinasi sukan bertaraf antarabangsa.


