Sabtu, 1 Ogos 2026
spot_img
DuniaAzizulhasni tebus penantian 16 tahun, emas keirin akhirnya milik Malaysia

Azizulhasni tebus penantian 16 tahun, emas keirin akhirnya milik Malaysia

GLASGOW – Selepas 16 tahun menanti dan melalui pelbagai episod pahit sepanjang kariernya, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akhirnya melengkapkan misi yang sekian lama diimpikan apabila muncul juara acara keirin Sukan Komanwel, sekali gus menghadiahkan pingat emas sulung buat dirinya di pentas temasya itu.

Kejayaan penuh bermakna di Velodrom Sir Chris Hoy, awal pagi tadi, menyaksikan pelumba yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu menamatkan penantian panjang sejak penampilan pertamanya di Delhi 2010, sekali gus melengkapkan koleksi pingat Komanwel selepas meraih gangsa di Glasgow 2014.

Azizulhasni membuktikan pengalaman dan ketenangannya apabila melakukan kayuhan bertenaga pada selekoh terakhir perlumbaan akhir yang membabitkan enam pelumba.

Memulakan saingan di kedudukan keempat, beliau memecut dari bahagian luar sebelum memintas semua pencabar untuk melintasi garisan penamat di tempat pertama.

Pelumba Australia, Leigh Hoffman meraih pingat perak manakala wakil tuan rumah England, Harry Ledingham-Horn membawa pulang pingat gangsa.

Sebaik menamatkan perlumbaan, Azizulhasni dilihat tidak dapat menahan sebak apabila terduduk di tepi trek sambil menitiskan air mata sebelum diberikan tepukan gemuruh oleh ribuan penyokong yang memenuhi velodrom berkenaan.

Kejayaan itu hadir selepas beliau terlebih dahulu mengesahkan tiket ke final apabila menamatkan saingan separuh akhir pertama di tempat kedua di belakang pelumba Australia, Tayte Ryan.

Bagaimanapun, Malaysia gagal membawa dua wakil ke pentas akhir apabila Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkandas di separuh akhir kedua selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Mengimbau perjalanan kariernya di Sukan Komanwel, Azizulhasni pernah berdepan detik paling mengecewakan pada edisi Delhi 2010 apabila dilucutkan daripada kedudukan naib juara ke tempat keenam selepas didapati melakukan kayuhan berbahaya.

Keputusan itu menyaksikan kemenangan 1-2 Malaysia tidak menjadi kenyataan apabila pingat emas diserahkan kepada bekas rakan sepasukannya, Josiah Ng.

Empat tahun kemudian, beliau sekadar membawa pulang pingat gangsa di Glasgow sebelum menamatkan saingan di tempat keenam pada Gold Coast 2018.

Lebih mencabar, Azizulhasni terpaksa melepaskan peluang beraksi pada Birmingham 2022 kerana masih menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka bagi membetulkan masalah anomali arteri koronari yang dihidapinya sejak lahir.

“Saya tidak pernah berhenti percaya walaupun perjalanan ini penuh cabaran. Pingat emas ini bukan hanya milik saya, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan dan menyokong saya,” katanya selepas perlumbaan.

Kemenangan itu bukan sahaja menamatkan penantian selama 16 tahun, malah mengukuhkan lagi status Azizulhasni sebagai antara atlet berbasikal trek terbaik yang pernah dilahirkan negara.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-