KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan tenaga pengajar popular, Sir Uzairi Taib, kini melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan apabila beliau dan isterinya, Aina Adleen, selamat menyambut kelahiran cahaya mata sulung perempuan yang diberi nama Alaia.
Berita gembira itu dikongsikan pasangan berkenaan menerusi laman instagramnya dan menerima pelbagai ucapan tahniah daripada pelajar, rakan pendidik serta pengikut yang mengikuti perjalanan hidup mereka.
Rata-rata ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah dan doa agar Alaia membesar sebagai anak yang sihat, solehah serta menjadi penyejuk hati kedua-dua ibu bapanya.
Sir Uzairi sebelum ini dikenali sebagai pendidik yang mencetuskan fenomena dalam dunia pembelajaran dalam talian menerusi gaya penyampaian yang kreatif dan mudah difahami, sekali gus menjadikannya antara guru Matematik paling berpengaruh di media sosial Malaysia.


