TAMPIN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wujud cubaan menyekat saluran media sosial pada penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sehingga menjejaskan hak parti politik untuk berkempen secara adil.
Beliau berkata, tindakan yang didakwanya sebagai ‘blackout’ terhadap beberapa saluran media sosial tidak sepatutnya berlaku kerana setiap parti mempunyai hak untuk menyampaikan pendirian masing-masing selagi mematuhi undang-undang serta etika pilihan raya.
“Dalam keadaan tekanan yang begini terdapat beberapa sekatan dilakukan di media sosial apabila sesuatu saluran itu telah diblackoutkan. Kebebasan bersuara yang dahulu diperjuangkan seharusnya diberikan kepada semua parti supaya rakyat dapat membuat pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sembilan Tahun 2026 (JPKK) di Gemencheh, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, beliau berharap tiada mana-mana pihak menggunakan kuasa atau platform tertentu untuk mengehadkan penyebaran maklumat sepanjang tempoh berkempen kerana mandat sebenar tetap berada di tangan rakyat pada hari pengundian.
Katanya, rakyat perlu diberi ruang untuk menilai semua pandangan dan maklumat daripada setiap parti sebelum membuat keputusan di peti undi.
Mengulas perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mendakwa pelbagai taktik digunakan pada saat-saat akhir kempen, termasuk dakwaan politik wang yang sebelum ini dibangkitkan oleh Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan laporan polis yang telah dibuat berhubung dakwaan berkenaan.
Pada masa sama, Ahmad Zahid menyatakan keyakinan bahawa momentum sokongan terhadap BN terus meningkat menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Beliau turut menghargai arahan Presiden PAS supaya ahlinya memberikan sokongan kepada calon BN di beberapa kerusi tertentu, sambil menyifatkan kerjasama antara kedua-dua pihak berjalan atas dasar persefahaman bagi memastikan kemenangan calon masing-masing.


