KUALA LUMPUR – Kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) sepanjang musim 2025/26 terus mendapat pengiktirafan apabila skuad Harimau Selatan menguasai tujuh daripada 15 kategori utama pada Anugerah Liga Malaysia (Liga M) 2025/26 yang berlangsung hari ini.
Lebih manis, tonggak tengah JDT, Muhammad Afiq Fazail, muncul sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP), sekali gus menamatkan penantian peribadinya untuk memenangi anugerah paling berprestij itu.
Kejayaan berkenaan turut menyaksikan dominasi JDT dalam kategori MVP berterusan selepas Arif Aiman Hanapi memenanginya dalam empat edisi terdahulu.
Afiq, 31, yang sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik pada edisi 2022 dan 2023, mengakui terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang MVP kali ini.
“Saya pun terkejut saya dapat MVP kali ini. Alhamdulillah, rezeki. Terima kasih untuk semua rakan-rakan pasukan, kalau tidak ada mereka, semua ini susah nak jadi.
“Saya rasa ini rezeki untuk isteri dan anak-anak saya,” katanya.
Pengiktirafan itu melengkapkan musim gemilang Afiq yang memainkan peranan penting dalam membantu JDT mencipta kejayaan besar di pentas domestik, termasuk merangkul quadruple buat kali keempat.
Selain MVP dan Pemain Tengah Terbaik menerusi Afiq, JDT turut membawa pulang anugerah Penjaga Gol Terbaik menerusi Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Jurulatih Terbaik (Xisco Munoz), Pemain Import Terbaik (Bergson da Silva) dan Pasukan Terbaik.
Dominasi itu turut dilengkapkan dengan kejayaan Boys of Straits sebagai Penyokong Terbaik, menjadikan JDT antara penerima paling menonjol pada malam penghargaan berkenaan.
Bergson turut menambah koleksi trofi apabila dinobatkan sebagai penerima Kasut Emas Liga Super selepas menghasilkan 27 gol, manakala penyerang Kuala Lumpur City, Safawi Rasid, meraih Kasut Emas kategori pemain tempatan dengan 13 gol.
Sementara itu, Faisal Abdul Halim dari Selangor FC mencipta sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik, sekali gus meraih anugerah individu pertamanya selepas beberapa kali tercalon sebelum ini.
Anugerah lain menyaksikan Quentin Cheng (Selangor FC) dipilih sebagai Pertahanan Terbaik, Haziq Kutty Abba(Penang FC) sebagai Pemain Muda Terbaik, Melaka FC menerima Anugerah Fair Play, manakala Ramadhan Saifullah Usman (Kuching City FC) memenangi Gol Terbaik Liga Malaysia 2025/26.
SENARAI PEMENANG ANUGERAH LIGA M 2025/26
- Penjaga Gol Terbaik: Syihan Hazmi Mohamed (JDT)
- Pertahanan Terbaik: Quentin Cheng (Selangor FC)
- Pemain Tengah Terbaik: Afiq Fazail (JDT)
- Penyerang Terbaik: Faisal Abdul Halim (Selangor FC)
- Jurulatih Terbaik: Xisco Munoz (JDT)
- Pemain Import Terbaik: Bergson da Silva (JDT)
- Pemain Muda Terbaik: Haziq Kutty Abba (Penang FC)
- Pemain Paling Bernilai (MVP): Afiq Fazail (JDT)
- Anugerah Fair Play: Melaka FC
- Pasukan Terbaik: JDT
- Gol Terbaik Liga Malaysia 2025/26: Ramadhan Saifullah Usman (Kuching City FC)
- Kasut Emas Liga Super: Bergson da Silva (JDT) – 27 gol
- Kasut Emas Liga Super (Tempatan): Safawi Rasid (Kuala Lumpur City FC) – 13 gol
- Penyokong Terbaik: Boys of Straits (JDT)

