Insiden itu tular di media sosial selepas seorang pengguna TikTok, @HadzwanHisham, memuat naik video yang memaparkan wanita berkenaan membaling kerusi dan meja, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam. (Tangkap layar video tular)
KUALA LUMPUR – Orang ramai yang melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) semalam gempar apabila seorang wanita berpakaian jubah hitam dipercayai mengalami masalah kesihatan mental mengamuk di kawasan tersebut. Insiden itu tular di media sosial selepas seorang pengguna TikTok, @HadzwanHisham, memuat naik video yang memaparkan wanita berkenaan membaling kerusi dan meja, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam. Rata-rata netizen yang meninjau hantaran tersebut meluahkan rasa simpati terhadap wanita itu, namun tidak menolak kemungkinan bahawa tindakannya berpunca daripada tekanan mental yang dihadapinya. “Hati-hati ya, orang yang ada masalah mental ni tenaga mereka melebihi orang yang sihat, kalau tidak kena cara, boleh mencederakan orang sekeliling,” kata seorang pengguna TikTok, @ArianaMikhail. Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Sakura, menyuarakan kebimbangannya terhadap keselamatan orang awam di lokasi kejadian. “Bahaya kalau dia dah mengamuk, apa yang ada kat situ pasti dia capai dan akan terkena orang awam yang ada kat situ,” katanya. Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai kejadian tersebut. Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi seumpama ini.