KUALA LUMPUR – Permintaan terhadap tiket pengangkutan awam meningkat mendadak menjelang musim perayaan Aidilfitri, dengan tiket Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjadi antara pilihan utama orang ramai untuk pulang ke kampung halaman.
Dengan harga yang berpatutan serta keselesaan perjalanan yang ditawarkan, tiket ETS laris terjual bagi memenuhi keperluan pengguna. Setakat Ahad, sebanyak 178,148 daripada 261,116 tiket telah habis dijual, meninggalkan hanya 10,958 tiket yang masih tersedia.
Melihat kepada permintaan tinggi, timbul cadangan agar KTMB menambah jumlah perjalanan ETS bagi menampung lebih ramai penumpang. Malah, terdapat juga saranan supaya perjalanan tren kargo dihentikan buat sementara waktu ketika musim perayaan bagi membolehkan lebih banyak tren ETS beroperasi.
Menurut seorang pengguna, Uda Saha, langkah tersebut boleh membantu orang ramai mendapatkan tiket dengan lebih mudah.
\”Tiket hampir habis, KTMB boleh tambah bilangan tren lagi. Kalau sehari, berapa banyak yang boleh beroperasi? Tren kargo boleh dihentikan seketika, seperti dua hari sebelum dan selepas Hari Raya, sebagaimana langkah yang diambil Kementerian Pengangkutan terhadap jalan raya dan lebuh raya,\” katanya.
Perkhidmatan ETS meliputi perjalanan dari selatan hingga ke utara Semenanjung Malaysia, menjadikannya antara mod pengangkutan yang penting bagi masyarakat yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

