KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan ketika ini susulan peningkatan jumlah kenderaan yang pulang ke ibu negara selepas seminggu bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan semasa menerusi laman Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati, kesesakan mula dikesan sejak lewat petang tadi khususnya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya ELITE ketika orang ramai berpusu-pusu pulang ke ibu kota menjelang hari pertama bekerja esok.
Menurut laporan LLM, cuaca hujan di beberapa kawasan turut menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan, terutama di laluan dari arah utara dan selatan ke Kuala Lumpur. Antara lokasi yang mencatatkan kesesakan dari arah utara termasuk laluan dari Jasin ke R&R Ayer Keroh, Hentian Pedas Linggi ke Bandar Ainsdale, R&R Seremban ke Persimpangan Nilai, serta dari Hentian Nilai ke Bangi dan selepas Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar.
Sementara itu, dari arah selatan, trafik turut sesak di laluan Seremban ke Pedas Linggi, dari Hentian Pedas Linggi ke Simpang Ampat, dan dari R&R Ayer Keroh ke Jasin. Kesesakan juga dilaporkan dari Bukit Gambir ke Sungai Muar, Pagoh ke Kilometer 119, Hentian Yong Peng ke Yong Peng Selatan, Kilometer 86.7 ke Ayer Hitam, serta Machap ke Hentian Kulaijaya.
Di Lebuhraya KL-Karak, keadaan trafik turut perlahan dari Karak ke Lentang dan dari Hentian Gombak ke Plaza Tol Gombak. Meskipun cuaca dilaporkan baik di laluan tersebut, jumlah kenderaan yang tinggi menyumbang kepada kesesakan.
Sementara itu, di Lebuhraya ELITE, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Bandar Serenia ke Bandar Gamuda Cove dan dari Putrajaya ke USJ bagi arah utara. Bagi arah selatan pula, kesesakan berlaku dari USJ ke Putra Heights dan dari Bandar Saujana Putra ke Putrajaya.
Pihak berkuasa mengingatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi had laju, kekal berwaspada dan merancang perjalanan dengan bijak, terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Orang ramai juga digalakkan untuk mendapatkan maklumat trafik semasa melalui saluran rasmi LLM atau aplikasi navigasi waktu nyata bagi mengelakkan laluan sesak.

