KUALA BERANG – Perjalanan seorang lelaki untuk bertemu isterinya di Segamat, Johor, berakhir dengan tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 379.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Ajil ke Bukit Besi, pagi tadi.
Mangsa, Che Rosli Che Mat, 57 tahun, yang memandu dari Kelantan ke Segamat dilaporkan hilang kawalan sebelum keretanya jenis Honda City terbabas dan melanggar penghadang jalan, lalu terjunam ke dalam longkang di bahu kiri jalan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, berkata pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 11.55 pagi dan siasatan awal menunjukkan kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi.
“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan awal ke atas kenderaan mendapati tayar hadapan sebelah kiri pecah, bampar hadapan tercabut, lampu hadapan pecah, dan terdapat kesan calar pada sisi kiri kereta, manakala kerosakan lain masih dalam siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Pihak polis turut mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, terutamanya ketika memandu jarak jauh di lebuh raya.

