PASIR GUDANG – Seorang pemuda dipercayai cedera parah selepas menjadi mangsa pukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam sebuah rumah dalam kejadian yang disyaki berlaku di Pasir Gudang yang tular awal pagi tadi.
Insiden tular di media sosial selepas beberapa klip video berkenaan memaparkan mangsa dibelasah tanpa belas kasihan oleh lebih lima hingga tujuh lelaki.
Menerusi video tersebut, mangsa dilihat dipegang beberapa individu sebelum ditumbuk dan dibelasah teruk di bahagian muka, dada serta anggota badan lain. Lebih mengejutkan, salah satu klip turut menunjukkan alat sulit mangsa dipukul dan ditendang dengan kejam.
Mangsa yang tidak melawan kelihatan lemah dan meronta-ronta sambil mengerang kesakitan, dengan kesan darah jelas kelihatan pada bahagian hidung.
Insiden itu mengundang kemarahan ramai warganet yang mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan kumpulan lelaki terbabit, selain mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan segera.
Difahamkan, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan seorang wanita, sebelum wanita terbabit dikatakan memanggil beberapa rakannya untuk membelasah lelaki berkenaan.
Turut didakwa menerusi ruangan komen netizen, klip video insiden tersebut dirakam sendiri oleh wanita terbabit, sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai motif dan punca sebenar kejadian.
Setakat ini, identiti mangsa dan suspek masih belum disahkan pihak berkuasa.
MYBERITA kini sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak PDRM berhubung perkembangan kes ini.

