JAKARTA – Sebuah pesawat yang membawa pulang 442 jemaah haji dari Arab Saudi ke Indonesia terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan hari ini selepas satu ancaman bom dihantar melalui e-mel kepada pihak berkuasa.
Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa e-mel tersebut diterima sekitar pukul 7.30 pagi waktu tempatan, yang mengandungi ugutan untuk meletupkan penerbangan Saudia Airlines SV 5276 dari Jeddah ke Jakarta.
“Ancaman dihantar oleh individu tidak dikenali dan kami menerima laporan daripada pengendali lapangan terbang Indonesia,” kata agensi tersebut.
Ekoran itu, juruterbang pesawat mengambil keputusan untuk melencongkan penerbangan dari destinasi asalnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta ke Medan selepas jam 10 pagi bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.
Menurut pengendali lapangan terbang InJourney Airports, keputusan mendarat di lapangan terbang terdekat dibuat selepas ancaman keselamatan dikenal pasti.
Pesawat berkenaan membawa 207 jemaah lelaki dan 235 wanita. Semua penumpang telah dipindahkan dari pesawat, manakala unit pemusnah bom kini menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat tersebut untuk mengesan sebarang bahan letupan.
Seorang pegawai Kementerian Pengangkutan turut mengesahkan kepada AFP bahawa pesawat itu masih berada di Lapangan Terbang Kualanamu dan laman penjejakan penerbangan Flightradar24 turut menunjukkan kedudukan pesawat kekal di Medan setakat tengah hari tadi.
Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik ancaman tersebut.

