Najib gembira dilepas tanpa dibebaskan kes RM27 juta, fokus kes 1MDB

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berasa lega dan gembira selepas dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta dana milik SRC International Sdn. Bhd.

Perkara itu dimaklumkan peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang memaklumkan anak guamnya kini dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kes berprofil tinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih berjalan.

“Dia gembira kerana tidak terlalu banyak kes. Kini beliau boleh fokus kepada kes 1MDB,” kata Shafee kepada media selepas prosiding.

Terdahulu, Hakim K. Muniandy membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepaskan Najib, 72, tanpa membebaskan beliau atas tiga pertuduhan berkenaan. Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira permohonan yang difailkan oleh pasukan pembelaan berhubung status perbicaraan yang masih belum bermula meskipun pertuduhan telah dikemukakan sejak enam tahun lalu.

Menurut Shafee, DNAA adalah penyelesaian terbaik dalam keadaan ini kerana tiada ketetapan masa bila perbicaraan boleh dimulakan, selain representasi telah dikemukakan pada 31 Julai tahun lalu.

Najib sebelum ini didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

BACA JUGA:  Ibu Zayn Rayyan diperintah bela diri, bapa dibebaskan

Beliau telah memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September 2022. Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...