LUMUT – UMNO tidak akan bergerak secara bersendirian sebaliknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa walaupun UMNO akan bertanding menggunakan logo dacing, ia tidak bermaksud parti itu memutuskan kerjasama sedia ada bersama BN dan PH.
Menurutnya, pendekatan politik kerjasama perlu diteruskan demi memastikan kemenangan yang lebih besar dan kestabilan politik negara selepas PRU-16.
“Selama ini (PRU-15), kita bertanding secara solo dan keputusannya di Perak, kita hanya menang sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 30 kerusi Parlimen.
“Ketika itu, kita buat perkiraan bahawa kita perlu bertanding solo dan kita kalah. Jadi, apa salahnya jika dalam PRU akan datang, kita terus menyantuni rakan-rakan di dalam BN dan PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung di sini, pada Ahad.
Tambah Zahid, kestabilan politik yang dikecapi ketika ini adalah hasil kerjasama antara gabungan parti dan ia perlu dipertahankan bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara serta keyakinan rakyat.

