JAKARTA – Seorang penumpang wanita perkhidmatan Kereta Api Indonesia (KAI) berdepan detik cemas apabila cermin tingkap kereta api pecah akibat dilempar batu oleh sekumpulan individu tidak bertanggungjawab, dalam kejadian yang berlaku malam kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Widya Anggraini sedang duduk di kerusi bernombor 4C dan 4D dalam Koc 2 ketika insiden berlaku pada jam 10.45 malam (waktu tempatan), semasa perjalanan dari Jogjakarta ke Surabaya, lapor portal berita Lambe Turah.
Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan Widya sedang membaca buku sebelum tiba-tiba cermin di sebelahnya pecah selepas terkena batu yang dilempar dari luar, menyebabkan serpihan kaca mengenai wajahnya.
Lubang pada tingkap kelihatan jelas, manakala Widya dilihat menahan kesakitan akibat kecederaan yang dialami.
Petugas KAI segera memberikan bantuan kecemasan sebelum mangsa dikejarkan ke hospital terdekat untuk rawatan. Difahamkan, serpihan kaca telah memasuki mata mangsa dan beliau kemudiannya dirujuk ke hospital pakar mata di Surabaya keesokan harinya bagi rawatan lanjut.
Setakat ini, keadaan terkini mangsa masih belum didedahkan.
Syarikat pengendali perkhidmatan rel, PT Kereta Api Indonesia, dalam satu kenyataan rasmi memohon maaf atas kejadian tersebut dan memberi jaminan akan menanggung segala kos rawatan serta memberi pampasan kepada mangsa.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pelaku yang terlibat dalam perbuatan vandalisme berbahaya itu.

