KUALA LUMPUR – Pavilion Kuala Lumpur bertukar menjadi lautan manusia petang semalam apabila kehadiran aktor dan model terkenal Korea Selatan, Lee Soo-hyuk, mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan peminat tempatan.
Lebih 2,000 peminat membanjiri ruang legar Concourse Utama pusat beli-belah ikonik itu bagi menyaksikan bintang kesayangan mereka secara langsung sempena acara eksklusif Galaxy Unfolds Roadshow yang dibawakan oleh Samsung Malaysia bersama Tonton.
Pelakon kacak yang diterbangkan khas ke Malaysia bersempena tayangan perdana drama thriller terbaharunya, S LINE, disambut dengan sorakan gemuruh sebaik sahaja kelibatnya muncul kira-kira jam 5 petang. Malah, kehadiran beliau telah dinanti sejak awal oleh peminat yang sanggup beratur dan berkampung seawal jam 2 petang bagi mendapatkan posisi terbaik.
“Aku cinta padamu!” – Lee Soo-hyuk mencairkan ribuan hati peminat tempatan dengan frasa Bahasa Melayu yang disambut dengan sorakan histeria.
Suasana bertambah gamat apabila kumpulan peminat dilihat berarak dari Lot 10 ke Pavilion KL dengan sepanduk dan sorakan seolah-olah sedang menyambut ketibaan idola K-pop. Antara sepanduk yang mencuri perhatian termasuk “Lee Soo-hyuk’s die-hard fan is here!!!” dan “Tonton❤️Lee Soo-hyuk”.
Keterujaan memuncak saat Lee Soo-hyuk melangkah ke pentas utama. Jeritan memecah ruang, ada yang melompat kegembiraan dan tidak kurang juga yang menitiskan air mata kerana terlalu terharu dapat melihat idola mereka dari dekat.
“I’m so happy to finally meet Malaysian fans. I’m super nervous right now. Thanks for supporting me,” ujar Lee Soo-hyuk, tersenyum sambil melambai ke arah peminat.
Kemeriahan itu tidak hanya dirasai warga Kuala Lumpur, malah peminat dari Pulau Pinang, Johor dan negeri lain turut sanggup turun padang demi menyaksikan idola mereka. Keadaan sesak sehingga ke tingkat atas Pavilion jelas membuktikan betapa hebatnya aura bintang berusia 36 tahun itu.
Kehadiran Lee Soo-hyuk juga disifatkan sebagai antara perjumpaan peminat terbesar anjuran Tonton tahun ini. Drama S LINE yang dibintangi beliau kini boleh distrim secara eksklusif di platform Tonton, dengan dua episod pertama telah ditayangkan serentak dengan Korea pada 11 Julai lalu.
Fenomena Lee Soo-hyuk di Pavilion KL pastinya menjadi momen yang akan terpahat dalam ingatan peminat tempatan. Ia membuktikan sekali lagi bahawa bintang Korea tetap memiliki tempat istimewa dalam hati rakyat Malaysia.

