JKDM Pahang gagalkan cubaan seludup \’e-waste\’ dan skrap logam bernilai RM4.4 juta

BENTONG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan dua cubaan membawa masuk barangan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta skrap logam dari luar negara dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM4,402,490.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, operasi bersepadu itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 21 Mei lalu.

Menurut beliau, serbuan serentak melibatkan tujuh kontena bersaiz 12.2 meter yang masing-masing disyaki membawa barangan larangan tanpa permit sah.

“Hasil risikan dan pemantauan rapi, tiga kontena pertama dikesan membawa e-waste seberat 46,726 kilogram bernilai RM700,890. Barangan ini diikrarkan dalam Borang Kastam 1 sebagai ‘copper concentrate’ walhal ia sebenarnya sisa elektronik yang memerlukan permit import.

“Modus operandi sindiket adalah menyamar dagangan sebagai barangan lain bagi mengelak keperluan permit import,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Bentong, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, dalam serbuan kedua, empat lagi kontena turut ditahan selepas didapati membawa masuk skrap logam seberat 105,760 kilogram dengan anggaran nilai RM3,701,600.

Difahamkan, barangan tersebut dipercayai dihantar dari Jepun dan Amerika Selatan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan. JKDM sedang bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti pemilik atau syarikat penghantar barangan terbabit,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa JKDM tidak akan berkompromi dalam isu penyeludupan barangan larangan terutama yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Pengurusan Sisa Terjadual 2005.

BACA JUGA:  Kontena tercampak dari treler dipandu laju, nyaris ragut nyawa pengguna
Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...