KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan tersentuh hati apabila menerima tip berupa wang tunai RM50 beserta sekeping nota tulisan tangan daripada seorang pelanggan wanita yang mendakwa wajahnya seiras dengan arwah adik perempuan itu.
Kisah menyentuh hati itu tular selepas dikongsikan menerusi satu hantaran video di TikTok oleh pengguna @Amirsyahv, yang memaparkan gambar wang kertas RM50 dan nota yang ditulis pelanggan tersebut.
“Akak ada bagi tip lebih sedikit untuk adik (rider). Muka adik sama macam arwah adik akak, terima kasih hantar makanan ke rumah akak ye dik,” tulis pelanggan berkenaan.
Kejadian itu nyata meruntun emosi ramai warga maya yang mengikuti perkongsian tersebut. Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan ucapan simpati dan rasa sebak terhadap wanita berkenaan yang masih merindui arwah adiknya.
“Dia (pelanggan) cuma nak buat sesuatu yang baik sebagai tanda dia rindu adik dia. Bukan nak pengganti pun, cuma nak buat hari seseorang itu jadi lebih baik,” tulis seorang pengguna.
“Kesiannya, mesti dia rindu adik dia sangat-sangat,” tulis seorang pengguna lain.
“Saya pun pernah dapat (tip) bang waktu kerja, dia bagi sebab muka macam arwah adik. Lepas itu dia naik kereta menangis dan lambai dekat saya,” tulis pengguna lain.
Perkongsian ini sekali gus membuktikan bahawa walau sekecil mana pun perbuatan baik, ia mampu memberi impak besar kepada emosi dan hubungan sesama manusia. Dalam kesibukan mengejar masa dan tugasan harian, kisah ini menyentuh perasaan ramai dan mengingatkan tentang erti kasih sayang serta kehilangan yang sukar digantikan.

