Kieda dakwa Pegawai Majlis di Baling keras kepala, susahkan peniaga kecil

KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh media sosial, Khalieda Yusra atau lebih dikenali sebagai Kieda, tampil lantang mendakwa dirinya serta pasukan perniagaannya turut berdepan layanan tidak adil ketika berniaga di sekitar daerah Baling baru-baru ini.

Menerusi video yang dimuat naik di laman instagramnya pada Jumaat, Kieda mendakwa seorang pegawai Majlis Daerah di Baling bersikap keras kepala sehingga menyusahkan peniaga kecil yang sekadar mahu mencari rezeki halal.

“Kami bukan nak meniaga haram. Kalau dari awal terima bayaran tapak yang kami nak buat, hari ini isu ini tak timbul. Tapi pegawai tu asyik halau kami, walaupun pelanggan sudah menunggu,” katanya dengan nada kesal.

Kieda turut menceritakan bagaimana pasukannya pernah diarah mengosongkan tapak meskipun ketika itu kanopi, makanan dan minuman sudah siap dipasang serta pelanggan mula beratur.

“Kami minta izin habiskan jualan sebab customer sudah tunggu, tapi mereka tetap paksa kami angkat barang. Katanya ini arahan pegawai majlis. Pelanggan siap konvoi ikut kami ke lokasi lain sebab nak beli juga,” jelasnya.

Menurut Kieda, isu tersebut bukan pertama kali berlaku. Beliau mendakwa sudah beberapa kali membayar sewa tapak dengan jumlah ribuan ringgit, namun tetap dihalang daripada berniaga.

“Saya pernah bayar RM1,350 untuk tiga kanopi. Itu bukan sedikit. Tapi kenapa masih dianggap peniaga haram?” soalnya.

Kieda turut membandingkan pengalaman berniaga di daerah lain yang disifatkannya jauh lebih mesra peniaga.

“Di Manjung, pegawai majlis sendiri turun padang bantu isi borang online kami yang tak reti. Bayaran cuma RM30 untuk tiga kanopi. Mereka siap doakan rezeki kami. Tapi di Baling, layanan berbeza sekali. Kenapa susahkan orang?” katanya lagi.

Sebelum ini, MYBERITA pernah melaporkan usahawan Faiz Aizif turut dikenakan caj RM400 hanya untuk satu petak parkir di lokasi dipercayai di daerah sama. Kini, Kieda mendakwa turut menerima layanan serupa.

BACA JUGA:  Anwar luluskan RM500,000 bantu persatuan penjaja, peniaga kecil melayu

Beliau menegaskan, peniaga kecil seperti dirinya hanya memperoleh untung tipis sekitar RM1 hingga RM2 bagi setiap produk dan bukannya mencari kekayaan segera.

“Kami hanya nak cari makan. Kalau betul salah, keluarkan saman. Jangan halau macam kami ini tak ada hak langsung. Pegawai ada kuasa, gunakanlah untuk mudahkan orang, bukan menyusahkan,” tegasnya.

Kenyataan Kieda itu kini hangat diperkatakan netizen yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib peniaga kecil di Baling.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...