MELAKA – Suasana di pekarangan Mahkamah Ayer Keroh di sini bertukar tegang apabila ahli keluarga kepada orang kena tuduh (OKT) dalam kes samun menggunakan senjata bertindak menghalang pihak media daripada membuat liputan terhadap pertuduhan tersebut.
Insiden itu berlaku sejurus tertuduh, Amirul Hamry Hambalyi Azahari, 27, selesai dibawa keluar dari mahkamah oleh anggota polis, apabila beberapa ahli keluarganya dilihat menghampiri jurukamera dan wartawan yang berada di lokasi bagi tujuan konfrontasi.
Seorang wanita daripada kumpulan keluarga itu turut bertindak menolak jurukamera dan cuba menghalang pemberita lain daripada merakam gambar kejadian, dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan kehadiran media. Kejadian itu sempat dirakamkan dan hanya reda apabila wartawan menegaskan mereka berada di lokasi atas kebenaran pihak berkuasa.
Dalam sebutan kes di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Mengikut kertas pertuduhan, Amirul Hamry didakwa melakukan rompakan bersenjatakan pisau pemotong daging, dengan melarikan wang tunai sebanyak RM202.80, tiga kotak rokok dan sebuah mesin pengimbas harga dari sebuah kedai serbaneka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada kira-kira pukul 3 pagi, 29 Julai lalu, di sebuah premis di Jalan Laksamana Cheng Ho 2, Melaka Tengah.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap dua minggu sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sepanjang prosiding berjalan.
Namun, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 2 September 2025 bagi tujuan serahan dokumen dan pelantikan peguam.

