KUALA LUMPUR – Tindakan tiga pelajar kolej lelaki yang mengaku melakukan perbuatan seks songsang secara berkumpulan termasuk liwat dan seks oral menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pakar perubatan dan masyarakat, bukan sahaja dari aspek moral tetapi juga risiko kesihatan yang membimbangkan.
Seorang pakar kesihatan lelaki, Dr. Samhan dari HIM Wellness, tampil menyuarakan kebimbangan itu menerusi platform X dengan menegaskan bahawa seks luar tabii, khususnya seks dubur, membuka ruang besar kepada jangkitan HIV yang boleh membawa maut.
“Risiko HIV menerusi seks dubur adalah 18 kali ganda lebih tinggi berbanding seks biasa. Dubur tidak mempunyai pelinciran semula jadi dan dindingnya sangat nipis. Bila berlaku tusukan, apatah lagi dalam keadaan dilakukan secara berkumpulan, risiko koyakan dan penularan virus menjadi amat tinggi,” katanya.
Tambah beliau, kononnya nikmat yang dikejar dalam hubungan songsang seperti ini sebenarnya hanyalah nikmat palsu yang dibayar dengan harga kesihatan dan masa depan.
“Siapa yang akan melindungi pasangan mereka nanti? Bagaimana jika penyakit ini dibawa pulang kepada isteri dan keluarga hanya kerana tersilap langkah dalam usia muda?” soalnya.
Dr. Samhan turut menyifatkan gejala seks sesama jantina yang semakin terbuka dalam kalangan remaja sebagai ancaman terhadap struktur kesihatan awam dan nilai agama.
“Tindakan melanggar fitrah bukan hanya berdosa, tapi turut memberi kesan emosi dan fizikal yang mendalam. Dalam banyak kes, penyakit kelamin seperti HIV dan HPV dikesan lewat kerana rasa malu untuk mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Melaka melaporkan tiga lelaki termasuk seorang pelajar kolej mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan seks luar tabii secara sukarela dan beramai-ramai. Kes berkenaan berlaku di sebuah bilik asrama kolej, dipercayai atas persetujuan bersama.
“Semua dilakukan secara suka sama suka, dalam bilik asrama. Saya menyesal sekarang,” kata salah seorang tertuduh ketika disoal pegawai penyiasat semasa siasatan.
Susulan pendedahan kes tersebut, pelbagai pihak tampil memberi amaran termasuk badan bukan kerajaan dan pakar perubatan, yang melihat peningkatan perilaku songsang ini sebagai gejala sosial yang tidak boleh dipandang remeh.

