KUALA LUMPUR – Suami kepada penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin, iaitu Dr Rushdi Ramli, memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai konflik rumah tangga mereka, namun menyatakan pelantikan hakam adalah langkah terbaik bagi mencapai penyelesaian secara damai.
Beliau berkata, proses seterusnya akan melibatkan pelantikan hakam untuk tujuan perdamaian, dan segala keputusan diserahkan kepada ALLAH SWT kerana yakin hanya Dia mengetahui apa yang terbaik.
Menurut Dr Rushdi, setiap rumah tangga tidak lari daripada ujian, namun perceraian bukanlah sesuatu yang diinginkan tanpa sebab kukuh.
Beliau menegaskan bahawa sekiranya terdapat sebab yang munasabah dan diredai ALLAH, perkara itu perlu dipertimbangkan dengan matang.
Prosiding perceraian pasangan itu dijadual diteruskan pada 3 September depan bagi proses hakam.
Terdahulu, Nora melantik kakak angkatnya, Rafeah, manakala Dr Rushdi memilih rakannya, Syamsul Omar, sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Pada 21 April lalu, Nora memfailkan permohonan perceraian selepas tercetus pelbagai konflik rumah tangga.
Sebelum ini, pelatun lagu Naluri itu pernah berkahwin dengan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992, dan dikurniakan empat cahaya mata.

