KUALA LUMPUR – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mencatat tunggakan bil elektrik berjumlah kira-kira RM61 juta dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) setakat 30 Jun lalu, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut beliau, rekod TNB menunjukkan terdapat 492,174 akaun di Kelantan yang mempunyai tunggakan bil, dengan jumlah keseluruhan hutang mencecah RM229 juta.
“Daripada jumlah itu, tunggakan tertinggi datang daripada pengguna domestik iaitu 411,780 akaun dengan jumlah RM114 juta, diikuti pengguna bukan domestik (komersial dan industri) sebanyak 80,196 akaun dengan jumlah RM53 juta. Manakala baki tunggakan adalah daripada AKSB melibatkan 198 akaun dengan jumlah RM61 juta,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN–Jeli) yang meminta penjelasan mengenai jumlah akaun pengguna di Kelantan yang masih mempunyai tunggakan bil TNB sejak tahun lalu hingga kini.
Fadillah turut memaklumkan bahawa jumlah tunggakan keseluruhan telah menurun berbanding 31 Disember tahun lalu, dengan penurunan direkodkan sebanyak RM4.33 juta.
Katanya, antara faktor penyumbang kepada masalah tersebut ialah kegagalan pemilik premis memindahkan akaun elektrik kepada penyewa, yang menyebabkan bil tertunggak terus meningkat, khususnya bagi kategori domestik.

