LANGKAWI – Tujuh individu termasuk dua wanita ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan menggunakan wang kertas palsu RM100 di beberapa premis perniagaan sekitar Langkawi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memaklumkan, pihaknya menerima empat laporan berkaitan penggunaan wang palsu di kawasan tumpuan pelancong iaitu Chenang, Padang Matsirat dan Kuah.
“Susulan maklumat awam dan siasatan awal, polis berjaya menahan lima lelaki serta dua wanita tempatan berusia antara 24 hingga 36 tahun di dua lokasi berasingan bermula jam 8.30 malam hari Ahad lepas,” katanya.
Menurut beliau, ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah, selain beberapa daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan jenayah lain.
Kesemua mereka kini direman selama tiga hari sehingga Selasa ini bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

