KUALA LUMPUR – Bapa kepada Allahyarham Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, berada dalam keadaan tidak menentu selepas kehilangan anaknya dan wajar diberikan hak sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues, kata peguamnya, Sherzali Asli.
Sherzali berkata, setakat ini maklumat yang diperoleh anak guamnya hanyalah melalui media sosial.
“Bapanya berada dalam keadaan tidak menentu, itulah sebabnya kami mendapat arahan untuk memastikan beliau mendapat semua maklumat sebagai bapa kandung,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding inkues ditangguhkan kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
Beliau memaklumkan Mahathir, 44, masih bergelar suami kepada ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, 45, namun pasangan itu tidak lagi tinggal sebumbung.
Sherzali bersama dua lagi peguam, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad, mengemukakan permohonan bagi pihak Mahathir dan Noraidah di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hashim.
Menurutnya, sekiranya diterima sebagai pihak berkepentingan, pasukan peguam itu berhak mengemukakan soalan sepanjang prosiding berlangsung.
Menjawab pertanyaan sama ada Mahathir akan hadir dalam perbicaraan akan datang, Sherzali berkata perkara itu bergantung kepada anak guamnya kerana inkues tersebut berpotensi memberi kesan mendalam kepadanya.

