KAJANG – Sebuah kilang peralatan perlindungan diri pakai buang (PPE) di Kawasan Perindustrian Sinaran di sini musnah dalam kebakaran melibatkan dua unit bangunan, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.45 tengah hari.
“Seramai 38 anggota bersama 13 jentera termasuk FRT, WT, ALP dan EMRS dari Balai Bomba Bandar Tun Hussien Onn dengan bantuan beberapa balai lain seperti Kajang, Sri Kembangan, Bangi, Cyberjaya, Shah Alam, Hang Tuah serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Balakong dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran membabitkan dua buah kilang keluasan kira-kira 100×200 kaki persegi dan ketika anggota tiba, api sedang marak. Kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
