SHAH ALAM – Pengacara dan penyanyi, Datuk AC Mizal menegaskan isu buli di sekolah bukan sekadar pengalaman pahit yang berlalu begitu sahaja, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran untuk membina sistem pendidikan yang lebih selamat buat generasi muda.
Menurut AC, beliau berkongsi pengalaman anak perempuannya, Fea Eryssa, yang pernah dibuli ketika bersekolah kerana mahu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa buli meninggalkan kesan psikologi mendalam kepada mangsa.
“Buli bukan perkara remeh. Ia boleh mengubah cara seseorang berfikir, bertindak dan membentuk keyakinan diri. Saya sendiri lihat bagaimana anak saya terpaksa berdepan tekanan emosi sehingga kami terpaksa menukarkan sekolahnya,” katanya ketika ditemui selepas konsert Talk To My Manager minggu ketiga di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Ahad lalu.
AC menegaskan, meskipun anaknya kini sudah menamatkan pengajian di peringkat diploma dan semakin matang, pengalaman dibuli masih meninggalkan parut emosi yang sukar dipadam.
“Alhamdulillah, dia kini lebih baik dan dikelilingi orang yang positif. Tetapi kesan buli tetap ada – terutama apabila berkait dengan isu fizikal yang masih sensitif baginya,” jelasnya.
Sehubungan itu, AC menyeru agar semua pihak – sama ada ibu bapa, pendidik mahupun rakan sebaya – memainkan peranan penting dalam membanteras budaya buli yang kian berleluasa.
“Kita perlu jadikan sekolah sebagai tempat selamat untuk anak-anak belajar, bukan medan ketakutan. Buli hanya merosakkan generasi,” tegasnya.
AC turut berharap pengalaman yang dilaluinya dapat membuka mata masyarakat bahawa setiap individu bertanggungjawab dalam mewujudkan suasana harmoni tanpa diskriminasi.

