TMJ titah kempen antibuli ‘all out’ dilaksana di Johor

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar kempen antibuli dilaksanakan secara habis-habisan di seluruh negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih titah berkenaan dan menegaskan Johor tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku buli.

“Menjunjung kasih Tunku Mahkota Ismail yang baru menziarahi adik Izzul Islam di Hospital Pakar KPJ Puteri. Baginda sudah berkenan untuk mengadakan kempen ‘all out anti bully’.

“Kerajaan negeri akan terus menyambut titah tersebut bagi memastikan Johor kekal sebagai negeri yang mempunyai sifar toleransi terhadap perbuatan buli,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Tunku Mahkota Ismail bersama Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim menziarahi kanak-kanak berusia 10 tahun itu, yang kini dirawat akibat insiden buli.

Menurut Onn Hafiz, pelaksanaan kempen ini akan melibatkan semua agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah agama serta agensi-agensi di bawah kerajaan negeri.

“Pengisian dan gerak kerja kempen ini akan saya kongsikan dalam masa terdekat. Kepada mana-mana pembuli, amaran keras – kita tidak ada toleransi untuk sifat dan perangai sebegini.

“Kita mahu Bangsa Johor membangun dalam suasana aman, kondusif dan bebas daripada budaya buli,” tegasnya.

Sebelum ini, ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39, mendakwa anaknya, Izzul Islam dipukul dua kali oleh murid lain berusia 10 dan 12 tahun di sebuah sekolah agama serta sekolah kebangsaan di Skudai, masing-masing pada 21 Februari dan 7 Ogos lalu.

Susulan itu, dua laporan polis dibuat di Balai Polis Skudai (23 Februari) dan Balai Polis Larkin (15 Ogos).

BACA JUGA:  [VIDEO] Alza langgar lampu merah, Myvi pula dirempuh jadi mangsa

Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad memaklumkan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...