KUALA LUMPUR – Seorang wanita nekad merakam sendiri bukti kecurangan suaminya selepas didakwa berlaku mesra dengan wanita lain di sebuah klinik kesihatan, dipercayai di Lembah Klang semalam.
Menerusi rakaman berdurasi 1 minit 26 saat yang dimuat naik ke TikTok, lelaki terbabit dilihat terkejut apabila menyedari isterinya sedang merakam aksi dia cuba memeluk bahu seorang wanita sejurus mengambil ubat di kaunter.
Wanita itu difahamkan menunggu di belakang sambil merakam perlakuan suaminya sebelum memuat naik video tersebut dengan kapsyen sindiran.
“Curang bukan tersilap, tapi kau memang pengecut,” tulisnya.
Rakaman berkenaan turut memaparkan wanita yang didakwa mempunyai hubungan dengan lelaki itu enggan memberi penjelasan, sebaliknya meminta si isteri terus menyoal suaminya.
Insiden itu pantas menarik perhatian warganet yang rata-rata menyatakan rasa puas hati kerana rakaman kali ini jelas dan tidak kabur seperti kebanyakan video ‘kantoi’ sebelum ini.
“Video curang terbaik tahun ini. Tak gegar macam gempa bumi dan video jelas. Paling penting penampar padu.”
“Kalau dah sekali curang, akan ada kali kedua dan seterusnya, penyakit yang tiada ubatnya.”
“Jangan percaya kak kalau mereka kata tiada hubungan apa-apa. Tadi nak peluk dah tu, tapi sebab nampak akak rakam terus tak jadi,” tulis netizen pada ruangan komen di Tiktok.
Kejadian itu sekali lagi mengundang perdebatan mengenai isu kecurangan rumah tangga yang semakin banyak dipaparkan di media sosial, dengan netizen menyarankan agar pasangan lebih berhati-hati dalam menangani konflik peribadi secara tertutup.

