KUALA LUMPUR – Pelakon, Hariz Hamdan memberitahu penyertaannya dalam drama arahan Erma Fatima berjudul ‘Pondan Itu’ bukan semata-mata soal lakonan, sebaliknya sebagai usaha menyampaikan mesej mengenai kemanusiaan dan penerimaan sosial.
Menurut Hariz, beliau tidak pernah melihat identiti mahupun pilihan hidup seseorang sebagai penghalang untuk berkarya bersama.
“Saya tak menilai sesiapa pun. Bagi saya, setiap manusia wajar dilayan sama rata. Bila ada yang tanya adakah saya okay berlakon dengan pelakon transgender, saya sendiri hairan, sebab bagi saya itu bukan satu isu,” jelasnya.
Tambah Hariz, pengalaman bekerja bersama pelakon transgender pada mulanya agak janggal, namun ia bertukar menjadi penghargaan selepas beliau lebih mengenali mereka sebagai rakan sekerja.
“Saya tidak membayangkan mereka dari sudut jantina, tetapi sebagai pelakon yang sama-sama menghidupkan watak. Itu sahaja,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hariz berharap penonton tidak hanya menumpukan kepada kontroversi judul drama tersebut, sebaliknya cuba memahami mesej yang ingin disampaikan.
“Saya harap orang ramai dapat lihat karya ini sebagai satu ruang untuk membuka perbincangan dan kesedaran bahawa setiap individu berhak dihormati,” katanya.
Drama Pondan Itu sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, namun pasukan produksi menegaskan naskhah tersebut menekankan aspek kemasyarakatan dan realiti kehidupan.

