SHAH ALAM – Finalis Talk To My Manager (TTMM), Amad Dayyan, terus mencuri perhatian ramai apabila berjaya mara ke peringkat akhir meskipun berdepan pelbagai komen pedas dan dakwaan ‘kabel’ dalam industri hiburan.
Pengurusnya, Siti Saerah meluahkan rasa syukur dengan peluang keemasan itu serta mempertahankan Amad Dayyan daripada tuduhan ‘bernasib baik kerana kabel’, menegaskan anaknya mara hasil bakat dan usaha sendiri.
“Alhamdulillah, Amad berjaya melangkah ke final. Yang penting, persembahan terakhir nanti akan dibuktikan lebih hebat dan memberi ‘kekenyangan’ kepada semua penonton,” katanya.
“Tak ada istilah kabel. Walaupun Amad anak saudara kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kami tak pernah gunakan kedudukan itu. Orang ramai pun nampak sendiri bakat Amad Dayyan,” jelasnya.
Amad pula ketika ditanya tentang kecaman di media sosial, tampil matang dengan jawapan yang mencuit hati.
“Saya tak pernah terasa pun. Orang nak komen itu urusan dia dengan Allah. Saya di bawah tunggu pahala masuk. Kadang-kadang saya baca, ada orang dengki, saya menganjing balik, tapi saya tak kisah,” katanya sambil ketawa.
Finalis muda itu turut berkongsi hasrat jika berjaya membawa pulang hadiah wang kemenangan, sebahagiannya akan disimpan, dibayar kepada kru yang membantunya termasuk penari dan jurugambar, selain diberikan kepada ibunya.
“Pertama sekali saya nak simpan dalam bank. Kemudian bagi separuh kepada adik beradik, bayar fotografer, penari dan semestinya bahagi untuk mak saya juga,” katanya.
Menjelang pentas akhir, Amad bakal berentap secara solo dan persembahan ‘battle’ bersama Thalita dalam apa yang disifatkan sebagai “battle sihat” oleh kedua-duanya.
“Tak ada istilah persaingan, kami hanya nak buat yang terbaik. Doakan saya dapat nombor satu,” katanya sambil mengingatkan peminat untuk terus mengundi.

