KUALA LUMPUR – Selepas enam minggu berdepan kritikan kerana persembahan yang dilihat kurang pembaharuan, Rahmat Ekamatra akhirnya tersingkir daripada pentas Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) pada konsert minggu ketujuh yang berlangsung malam tadi.
Konsert bertemakan Mixed-Tape itu menyaksikan Rahmat atau nama sebenarnya Engku Rahmat Engku Ismail, 57, mempersembahkan lagu Hakikat Sebuah Cinta dendangan asal kumpulan Iklim.
Namun, persembahan tersebut gagal memikat hati juri sepenuhnya meskipun terdapat sedikit perubahan berbanding minggu-minggu sebelumnya.
Juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat berkata, gaya nyanyian Rahmat masih kedengaran sama dan kurang variasi, walaupun ada usaha kecil untuk menambah elemen persembahan.
“Masih ‘nasi lemak’. Tapi ada sedikit tambahan sampingan minggu ini. Ada pergerakan tangan. Cuma saya tertanya-tanya kenapa Rahmat menyanyi kepala senget sebelah,” katanya.
Mengulas perkara itu, Rahmat menjelaskan posisi tersebut merupakan ‘style’ atau identiti lentok dalam nyanyiannya. Bagaimanapun, sedikit peningkatan itu tidak cukup untuk menyelamatkannya apabila hanya meraih markah keseluruhan 59.59 peratus, sekali gus menamatkan perjuangannya di GV12.
Dalam sidang media selepas konsert, Rahmat mengakui sukar untuk mengubah cara nyanyiannya yang sudah sebati lebih tiga dekad bersama dirinya.
“Saya tak mampu ubah cara nyanyian kerana sudah lebih 30 tahun menyanyi dengan gaya yang sama. Peminat kenal saya seperti mana saya. Peminat saya pun mahu saya menyanyi cara saya. Saya rasa bertuah kerana mereka masih menghargai saya dari dulu sampai sekarang,” katanya.
Kini tinggal sembilan peserta yang masih kekal dalam persaingan merebut gelaran juara GV12 iaitu Mendua, Mark Adam, Nubhan, Iskandar Ismail, Krisya, Ruri Republik, Shae, Mell Sakura dan Freshies.

