MELAKA – Seramai 11 pelajar di sebuah sekolah menengah di negeri ini digantung sekolah selepas terbabit dalam pelbagai kesalahan disiplin serius termasuk kes buli fizikal, perbuatan tidak senonoh dan menghisap rokok.
Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem, susulan kebimbangannya terhadap peningkatan kes buli dan salah laku pelajar yang semakin kerap dilaporkan di negeri ini.
Menurut beliau, berdasarkan rekod disiplin dalaman sekolah berkenaan, kesalahan tersebut direkodkan antara Mac hingga Julai tahun ini, membabitkan pelajar dari tingkatan dua hingga tingkatan empat.
“Daripada jumlah tersebut, empat murid tingkatan dua dikenakan hukuman gantung selepas terbabit dalam buli fizikal terhadap rakan sekelas, manakala tiga pelajar lain digantung kerana menghisap rokok dan rokok elektronik (vape).
“Selain itu, empat lagi pelajar tingkatan tiga dan empat turut digantung sekolah selepas dikesan melakukan perbuatan tidak senonoh di kawasan sekolah,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Mohd. Noor Helmy turut berkongsi perkara itu menerusi laman Facebook rasminya sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menyatakan bahawa hukuman rotan bukanlah penyelesaian terbaik dalam menangani isu buli di sekolah.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu berpendapat sebaliknya dan menegaskan bahawa hukuman rotan terhadap pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius masih relevan serta merupakan kaedah didikan konvensional yang berkesan.
“Mat (Mohd. Noor Helmy) ni nasib baiklah mendiang cikgu Hau Kim Chai bantai hari-hari, kalau tidak, tahulah jadi apa. Saya janji dengan cikgu dalam Duyong ni, selagi ada cikgu merotan anak murid kerana sikap mereka yang keterlaluan, cikgu itu akan saya pertahankan.
“Dulu baru kantoi pergi kafe siber pun naik birat tapak tangan, agaknya sekarang ni kalau cikgu tengok jenayah yang ada bukan-bukan lagi, saya rasa dengan kerusi kayu cikgu hempukkan,” tulisnya.
Jelas beliau, walaupun jumlah kesalahan itu tidak melibatkan angka yang besar, isu buli dan salah laku pelajar tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani dengan tegas serta berkesan.
Katanya, tindakan disiplin wajar diteruskan bagi memastikan pelajar sedar tentang akibat perbuatan mereka, selain memberi mesej jelas bahawa sekolah bukan tempat untuk tingkah laku tidak bermoral.
“Kita tidak mahu ada pihak termasuk ibu bapa yang mempolitikkan tindakan guru dalam mendidik anak-anak. Apa yang penting ialah pembentukan sahsiah pelajar supaya mereka menjadi insan berguna pada masa depan,” tegasnya.

