[VIDEO] MPP USM buat laporan polis, nafi dakwaan tidak telus

GEORGE TOWN – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM) hari ini tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya berlaku ketidaktelusan dalam pengurusan dana perwakilan seperti yang dibangkitkan oleh Pengerusi Mandat Mahasiswa, Mohamed Azrin Samah, baru-baru ini.

Yang Dipertua MPP USM, Muhammad Arif Isa, berkata pihaknya telah membuat laporan polis bagi menangkis fitnah dan tuduhan tidak berasas yang menurutnya telah menjejaskan kredibiliti kepimpinan MPP serta mencemarkan nama baik institusi pelajar itu.

“Semua urusan kewangan dan pengurusan dana MPP dilaksanakan mengikut prosedur kewangan universiti yang ketat dan telus, di bawah pemantauan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HPUSM) serta Pejabat Bendahari USM,” katanya menerusi video yang dimuat naik oleh MPP USM pada Khamis.

Menurut Muhammad Arif, setiap perbelanjaan MPP direkod, diluluskan secara rasmi dan diaudit mengikut garis panduan universiti. Malah, barisan MPP juga telah berbincang dengan juruaudit USM pada 16 Oktober bagi meneliti pelantikan juruaudit luar untuk mengaudit akaun dana luar MPP.

Beliau menjelaskan bahawa audit dana luar akan dilaksanakan selepas pembubaran MPP semasa dan dijangka selesai sebelum watikah pelantikan MPP sidang baharu, manakala audit akaun dalaman universiti dijadualkan berlangsung pada Januari 2026, selaras dengan tarikh audit akaun universiti lain.

Mengulas lanjut, Muhammad Arif menafikan dakwaan wujudnya dana RM20,000 daripada RHB Bank seperti yang didakwa oleh Mandat Mahasiswa.

“Itu fitnah tidak berasas. Dana RM20,000 yang disebut sebenarnya berbentuk geran daripada Yayasan Perkasa Siswa, bukannya daripada RHB Bank. Pihak bank hanya memberikan RM2,000 sebagai deposit pembukaan akaun luar MPP,” jelasnya.

Katanya, berbeza dengan sidang lalu, dana kali ini perlu dimohon secara rasmi sebagai Grant Aktiviti MPP daripada Yayasan Perkasa Siswa dan bukan dikreditkan terus ke akaun peribadi mana-mana individu.

BACA JUGA:  Wanita leka main telefon jadi punca kemalangan tiga kenderaan

Beliau turut menegaskan bahawa dana berkenaan telah diagihkan secara menyeluruh termasuk kepada kampus cawangan dan kampus pesisir seperti di Kampus Kesihatan Kubang Kerian dan Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, bagi melaksanakan pelbagai program termasuk pertukaran pelajar ke Jepun, program sukan serta khidmat komuniti ke Surabaya.

Susulan itu, Muhammad Arif menuntut agar Mohamed Azrin mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan dana RM20,000 tersebut.

“Saya ulang, saya tuntut agar saudara Azrin Samah membuktikan dana RM20,000 itu benar-benar wujud dan dimasukkan ke akaun MPP,” tegasnya.

Menjawab tuntutan Mandat Mahasiswa agar penyata kewangan dibentangkan secara terbuka, beliau menjelaskan bahawa Perkara 70(13) Perlembagaan USM hanya mensyaratkan laporan kewangan diaudit dan dikemukakan kepada Naib Canselor, bukan kepada umum atau pelajar.

“Dalam perlembagaan jelas tidak disebut laporan itu perlu dibentangkan secara terbuka. Namun, kami tetap komited menyiarkan pembentangan belanjawan MPP di media sosial rasmi sehingga tamat penggal,” katanya lagi.

Muhammad Arif turut menyeru agar semua pihak berhenti menyebarkan fitnah menjelang pilihan raya kampus yang semakin hampir.

“Cukup menabur fitnah untuk menaikkan diri secara peribadi. Kami komited menegakkan integriti, ketelusan dan amanah dalam menjaga kebajikan pelajar,” ujarnya.

Sebelum ini, MYBERITA melaporkan kenyataan Mohamed Azrin Samah yang menuntut agar MPP USM membentangkan penyata kewangan secara telus selaras dengan Perlembagaan USM.

Beliau mendakwa wujud kekeliruan mengenai jumlah sebenar peruntukan dana termasuk akaun luar yang didakwa melibatkan hampir RM20,000 di sebuah akaun RHB Bank.

Raihan Hazizi
Raihan Hazizi
raihanhazizi@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...