KUALA LUMPUR â Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal memperkenalkan Piala ASEAN FIFA, sebuah kejohanan baharu yang akan menghimpunkan kesemua 11 negara ASEAN dalam satu pentas bola sepak berprestij serantau.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata kejohanan itu adalah hasil pembaharuan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara ASEAN dan FIFA yang ditandatangani hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurutnya, penganjuran Piala ASEAN FIFA akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak di rantau ini, dengan penyertaan pemain-pemain terbaik dari negara ASEAN selaras dengan kalendar perlawanan antarabangsa FIFA.
âKami melancarkan pertandingan ini bagi memberikan rangsangan sebenar kepada bola sepak serantau dengan kehadiran pemain terbaik, selaras dengan kalendar perlawanan antarabangsa FIFA. Langkah ini bertujuan memastikan bola sepak di rantau ASEAN benar-benar memberi impak dan mampu menyerlah di pentas dunia,â katanya.
Infantino turut menegaskan bahawa bola sepak mempunyai kuasa menyatukan dunia, dan melalui kerjasama dengan ASEAN, FIFA berharap dapat memperkukuh semangat perpaduan serta kebersamaan di rantau ini.
âFIFA menyatukan dunia bersama semua 11 negara ASEAN. Kami mencipta Piala ASEAN FIFA dan ia akan menjadi kejayaan besar di rantau ini,â ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik inisiatif tersebut yang disifatkannya sebagai langkah penting memperkukuh pembangunan bola sepak, terutamanya dalam kalangan belia dan komuniti luar bandar.
âDalam konteks sukan rakyat, khususnya dalam kalangan belia serta sukan yang digemari ramai, ia merupakan keutamaan bagi rantau ini dalam usaha membina barisan pemimpin baharu. Usaha ini juga bertujuan memberi pendedahan dan latihan kepada mereka, dan saya amat berterima kasih kepada FIFA atas galakan serta sokongan yang diberikan,â katanya.
Kerjasama strategik ASEAN-FIFA ini dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti bola sepak rantau ini serta mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai salah satu kuasa sukan yang berpengaruh di peringkat global.

