Umai pecah rekod ABP, jadi pemenang termuda dalam sejarah

KUALA LUMPUR – Nama baharu dalam industri muzik tanah air, Umairah mencuri tumpuan apabila mencatat sejarah tersendiri di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Artis Baharu Popular hari ini.

Kemenangan itu bukan sekadar pengiktirafan awal karier seni, malah meletakkan penyanyi remaja berusia 14 tahun itu sebagai pemenang termuda sepanjang penganjuran ABP sejak diperkenalkan lebih tiga dekad lalu.

Umai atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar turut memadamkan rekod milik ibu saudaranya yang juga Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang sebelum ini memegang gelaran pemenang termuda dalam sejarah anugerah berprestij berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada semua yang mengundi. Pada usia 14 tahun, ini anugerah paling indah pernah saya dapat dan memang tak pernah jangka pun.

“Tanpa sokongan semua, saya takkan berada di sini. Anugerah ini juga satu penghargaan besar buat keluarga saya,” katanya kepada MYBERITA.

Umai turut menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pencapaian luar jangka, apatah lagi minatnya dalam dunia nyanyian bermula sejak kecil.

“Sebenarnya ini memang impian sejak kecil sebab saya minat menyanyi. Bila dapat anugerah ini, rasa sangat bersyukur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Umai tidak menafikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi sumber inspirasi terbesarnya dalam mengejar kejayaan sebagai anak seni.

“Tengok Mak Iti menang dulu memang buatkan saya terinspirasi. Saya memang teringin nak capai kejayaan dan menang anugerah sama seperti dia,” katanya lagi.

Dalam kategori tersebut, Umai berjaya menewaskan sembilan pencabar lain iaitu Aqeesh Aleeya, Arabella Ellen, Arena Wan, Auni Yusri, Marygrace, Qila Shahirah, Qistina Rania, Saidah Kamarudin dan Wanie Ooi.

Untuk rekod, Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah mencipta sejarah apabila memenangi gelaran Bintang Paling Popular pada tahun 1996 ketika berusia 17 tahun, sekali gus menjadi pemenang termuda pada ketika itu.

BACA JUGA:  Insiden tembakan gegar majlis sebelum Trump berucap
Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...