REMBAU – Fenomena minuman teh hijau (matcha) yang tular bukan sekadar trend bermusim, sebaliknya menjadi sumber pendapatan penting buat segelintir pelajar universiti dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan kekangan kewangan projek pengajian.
Itu pandangan Muhammad Adam Ariff Ramli, 21, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, yang melihat lonjakan populariti matcha didorong kuat oleh elemen visual dan budaya media sosial, khususnya dalam kalangan wanita.

Menurutnya, daya tarikan utama minuman berasaskan teh hijau dari Jepun itu bukan semata-mata rasa, sebaliknya warna hijau terang dan persembahan yang ‘pop’, berbeza dengan kopi yang dianggap sudah terlalu biasa.

“Sebagai barista, saya perasan kebanyakan orang tengok presentation dulu sebelum beli. Matcha ni menang dari segi visual. Colour dia hijau terang campur putih, memang senang tarik perhatian,” katanya ketika ditemui MYBERITA di sebuah restoran di sini, hari ini.
Adam berkata, faktor trend global turut memainkan peranan apabila kandungan berkaitan matcha mula tular di Barat sebelum ‘merebak’ ke Malaysia, sekali gus mencetuskan permintaan tinggi dalam tempoh masa yang singkat.

Namun, di sebalik populariti itu, beliau tidak menafikan wujud kebimbangan terhadap kualiti matcha yang dijual di pasaran.
“Bila terlalu ramai ikut trend, ada risiko kualiti jatuh. Ada yang buat secara tergesa-gesa tanpa belajar betul-betul. Sekarang pun bekalan matcha asli dari Jepun makin terhad, jadi ada yang guna versi lebih ‘artificial’,” jelasnya.
Dalam masa sama, trend matcha dimanfaatkan sepenuhnya oleh Adam dan rakan-rakan sebagai projek pengumpulan dana (fundraising) bagi menampung kos pengeluaran projek akhir (FYP) dan acara produksi pelajar.

Dengan modal sekitar RM2 secawan, mereka menjual matcha pada harga antara RM6 hingga RM8, sekali gus meraih keuntungan berlipat kali ganda.
“Dalam satu malam, kami boleh jual 60 hingga 70 cawan. Semester lepas, keuntungan bersih mencecah lebih RM700, manakala semester ini sekitar RM400,” katanya.
Tambahnya, pemilihan minuman sebagai medium perniagaan adalah strategi paling praktikal buat pelajar kerana kos rendah, permintaan tinggi dan pulangan cepat berbanding makanan.

Mengulas cabaran pelajar menjelang 2026, Adam mengakui tekanan ekonomi dan ketiadaan pendapatan tetap memaksa pelajar mencari inisiatif sendiri untuk membiayai projek akademik.
“Bantuan yang ada sangat terhad dan kebanyakannya melalui sistem tuntutan. Kalau mohon RM1,000, mungkin dapat RM500 sahaja. Selebihnya kami kena guna duit sendiri,” ujarnya.
Selain menjual minuman matcha, mereka turut merancang mendapatkan tajaan serta menyewakan peralatan produksi bagi menambah dana.

Dalam pada itu, Adam turut berkongsi pandangan mengenai bidang penyiaran (broadcasting) yang semakin menjadi pilihan pelajar muda.
“Tak salah masuk sebab trend, tapi kena serius belajar dan bina connection. Dunia broadcasting sekarang sangat kompetitif. Kalau pasif dan tak buat rangkaian, memang susah nak dapat kerja,” katanya.

