Sukan SEA 2025: ‘Ibu segala emas’ akhirnya milik Malaysia lepas 34 tahun

BANGKOK – Ketabahan mental dan keberanian luar biasa di saat getir menjadi kunci kebangkitan skuad sepak takraw lelaki negara apabila Malaysia akhirnya menamatkan penantian selama 34 tahun untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan Sukan SEA, selepas menewaskan musuh tradisi Thailand 2-1 dalam final penuh emosi di Gimnasium Nakhon Pathom, Bangkok, semalam.

Kejayaan manis itu lebih bermakna apabila dilakar di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, sekali gus menyaksikan Malaysia merampas kembali kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada edisi Manila 1991, sekali gus memadam dominasi panjang Thailand dalam acara berprestij itu.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, menyifatkan kemenangan bersejarah itu sebagai detik paling berharga dalam landskap sukan takraw negara.

“Alhamdulillah, setelah 34 tahun menanti, akhirnya kita berjaya menjadi juara acara berpasukan. Ini adalah ‘ibu segala pingat emas’ sepak takraw kerana ia melibatkan kekuatan keseluruhan pasukan,” katanya.

Menurut Sumali, kejayaan itu turut melengkapkan koleksi emas Malaysia selepas sebelum ini berjaya memecahkan dominasi Thailand dalam acara regu, kuadran dan double.

“Hari ini, dengan izin Allah, kita berjaya melengkapkan sejarah itu di bumi Thailand sendiri. Ini adalah perkembangan terbaik untuk sepak takraw negara,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan padu termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria.

“Ini baru permulaan. Kita masih ada beberapa lagi acara untuk diburu dan saya harap momentum kemenangan ini dapat diteruskan,” katanya.

Dalam aksi final, Thailand bermula garang apabila regu pertama mereka menundukkan trio negara, Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir 15-9, 11-15, 15-13 untuk mendahului 1-0.

BACA JUGA:  Umar Osman nekad tumbangkan rekod 400m di Tokyo

Namun, semangat juang skuad negara tidak luntur apabila regu kedua yang diketuai Syahir Rosdi selaku tekong bersama Azlan Alias dan Farhan Adam membuktikan status regu terbaik dunia dengan menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai serta Rachan Viphan bagi mengikat kedudukan 1-1.

Detik paling mendebarkan hadir pada regu ketiga apabila Malaysia ketinggalan jauh 0-7 sebelum Zulkifli Razak bersama Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwaw bangkit mencuri kemenangan 15-13 pada set pertama, sebelum mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 15-11 di set kedua.

Kejayaan dramatik itu bukan sahaja mengakhiri kemarau panjang pingat emas, malah menjadi simbol kebangkitan dan kematangan mental skuad sepak takraw negara di pentas Sukan SEA selepas lebih tiga dekad menanti detik gemilang tersebut.

Muhammad Haqim
Muhammad Haqim
haqim@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...