KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah kereta Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.39 tengah hari itu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang merupakan pelajar Diploma Pendidikan Pasca Ijazah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, dalam perjalanan menghala ke Jalan Bukit Kecil selepas mengulang kaji pelajaran di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.
Menurut maklumat awal, ketika mangsa membelok dari persimpangan lampu isyarat yang dipercayai bertukar hijau, kereta Perodua Viva dipandunya tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar raya.
Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk selain mengakibatkan sebatang lampu isyarat di lokasi kejadian turut rosak.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd. Salleh Abdullah berkata, sepasukan anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Mayat pelajar wanita tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, pemandu lelaki Honda Jazz yang mengalami kecederaan turut dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk mendapatkan rawatan.
Kes disiasat oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.



