Bangkai helikopter PDRM terhempas berjaya dinaikkan

ISKANDAR PUTERI – Selepas genap seminggu nahas berlaku, bangkai helikopter AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah berjaya dinaikkan kira-kira jam 11 pagi tadi.

Helikopter yang didaftarkan dengan nombor 9M-PHG itu terhempas pada 10 Julai lalu ketika menjalani latihan lintas hormat sempena program Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025.

Operasi mengapungkan dan menaikkan bangkai helikopter tersebut bermula seawal jam 8 pagi apabila anggota pelbagai agensi berkumpul di Markas Operasi Bersepadu berhampiran lokasi nahas.

Pada jam 11 pagi, bangkai pesawat mula diapungkan dengan bantuan kren dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk dinaikkan ke atas dek sebuah kapal, sebelum dipercayai dibawa ke jeti berhampiran bagi tujuan siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti punca kejadian.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Johor, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Keadaan cuaca cerah turut membantu melancarkan proses mengapungkan bangkai pesawat meskipun paras air surut.

Dalam kejadian sebelum ini, lima kru berada dalam helikopter terbabit. Salah seorang mangsa, Konstabel RG Devendran dari Balai Polis Tanjung Kupang masih dalam keadaan kritikal, manakala Koperal Adeline Liu Yan Sin dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang turut dilaporkan kritikal, kini menunjukkan tanda-tanda pulih.

Juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom dan Sarjan Siti Latipa Khairuddin pula mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan stabil.

BACA JUGA:  Anak Nana Mahazan, Althea peserta pertama tersingkir minggu ketiga TTMM2

Semua mangsa masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...