SHAH ALAM – Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Nubhan tidak melenting meskipun pencapaiannya di pentas akhir pertandingan itu menjadi bahan ejekan segelintir netizen hanya kerana gagal bergelar juara.
Menurut Nubhan atau nama lengkapnya Nubhan Ahamad, 40, dia sebaliknya berasa bangga dengan kedudukan yang diraih kerana menyedari bukan mudah untuk bertahan sehingga berada dalam kelompok tiga terbaik.
“Dapat nombor tiga bukanlah ‘padan muka’ untuk saya. Sasaran saya adalah untuk ke peringkat akhir. Kalau jadi juara, itu adalah bonus.
“Untuk ke peringkat akhir sahaja pun tidak mudah. Melangkah sejauh ini juga saya sudah bangga. Bertahan selama 12 minggu tanpa tersingkir bukan sesuatu yang senang,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert akhir GV12, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Nubhan turut menzahirkan rasa terharu atas sokongan padu peminat yang sentiasa mempercayai kebolehannya sepanjang pertandingan berlangsung.
“Terima kasih kepada mereka yang meramalkan saya sebagai juara. Alhamdulillah, itu menunjukkan peminat percaya saya ada peluang untuk menang.
“Sokongan sejak minggu pertama sudah cukup untuk membuatkan saya gembira,” ujarnya.
Mengulas komen juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat yang menyifatkan pemilihan lagu duet bersama penyanyi jemputan, Aina Abdul menerusi lagu Seluruh Cinta kurang sesuai, Nubhan mengakui kebenaran pandangan tersebut.
“Saya hanya memilih lagu untuk persembahan solo. Aina seorang penyanyi yang sangat profesional dan sentiasa memberi sokongan kepada rakan duet.
“Mungkin saya kurang ‘memberi’ kerana lagu itu agak sukar, namun alhamdulillah saya ingin ucapkan terima kasih kepada Aina atas komitmen yang ditunjukkan.
“Saya terima apa sahaja lagu yang diberikan dan anggap ia sebagai satu tanggungjawab tanpa perlu memberi banyak alasan,” katanya.
Pada konsert akhir GV12, peserta dari Singapura, Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara manakala wakil Indonesia, kumpulan Mendua meraih kedudukan naib juara.

